Teknologi kecerdasan buatan (AI) berjaya menghidupkan semula suara dan visual Queenzy Cheng dengan pelancaran lagu Tahun Baharu Cina beliau yang bertajuk “Limpahan Keberkatan”. Karya muzik ini merupakan satu penghormatan kepada perjalanan Queenzy dalam industri muzik. Walaupun Queenzy tidak sempat merakam lagu dan video muzik, setiap butiran lagu ini telah dirancang dan diluluskan oleh beliau terlebih dahulu termasuklah tajuk lagu, lirik, komposisi dan penggambaran foto.
Queenzy juga telah memilih untuk memakai mutiara bersempena dengan ulang tahun ke-30 dalam industri muzik. Mutiara, dengan kecantikan yang berkilau, menjadi metafora bagi pencapaian beliau sepanjang kerjayanya. Selain melambangkan keanggunan, mutiara juga sinonim dengan tahun naga yang sering kelihatan dengan mutiara. Naga dikaitkan dengan kekuatan, kebijaksanaan dan kemakmuran sekaligus mencerminkan pendekatan yang Queenzy amalkan dalam industri muzik.
Projek ini merupakan hasil kerjasama antara pentadbir harta pusaka Queenzy Cheng dan pasukan beliau di syarikatnya, Qhinetic. Ketiadaan Queenzy di studio rakaman dan set penggambaran berjaya diatasi dengan kemajuan teknologi AI. Suara beliau dengan gaya unik Queenzy berjaya dijana semula melalui algoritma kompleks dan pembelajaran mesin berdasarkan rakaman-rakaman yang lepas. Video pula menampilkan semula wajah ikonik Queenzy yang diperkayakan lagi dengan sokongan teknologi AI.
“Limpahan Keberkatan” berjaya dihasilkan sepenuhnya di Malaysia dan diterbitkan oleh pasukan yang amat dinamik. Lagu ini ditulis oleh Leow Yee Xing, yang turut membantu dalam penghasilan vokal AI. Komposer lagu ini ialah Ang Chee Ciang, mentor Queenzy dalam industri hiburan sejak awal kerjayanya. Beliau juga dibantu oleh WeiC dan Koh Kok Boon yang sering bekerjasama dengan Queenzy sejak beberapa tahun lepas. Naratif visual pula diserahkan kepada pengarah, Kiang HY dari Octopost Studio, seorang rakan kreatif yang telah lama bekerjasama dengan Queenzy dalam penghasilan video muzik.
Queenzy menubuhkan syarikatnya sendiri pada tahun 2017 untuk memberi dimensi baru kepada lagu Tahun Baharu Cina. Semua album keluaran beliau membawa satu anjakan paradigma yang dapat mencorakkan landskap muzik tempatan. Visi dan semangat beliau yang inginkan lagu tahun baharu boleh didengari sepanjang tahun menjadi asas kepada pilihan lagu beliau. Gaya penggambaran pula moden dan bersesuaian dengan gaya hidup masa kini. Sebagai seorang seniman yang konsisten berada di barisan hadapan perubahan, penggunaan teknologi AI dalam penghasilan lagu ini mencerminkan komitmen Queenzy yang berterusan ke arah kemajuan dan revolusi dalam industri ini.
“Limpahan Keberkatan” akan dilancarkan serentak di laman Facebook dan Youtube rasmi Queenzy pada 8 Februari 2024, jam 8:00 pagi. Lagu ini juga boleh dilayari di platform penstriman utama di seluruh dunia pada 9 Februari 2024.
Pada tahun ini juga, Queenzy bakal melancarkan dua lagu Hari Raya Aidilfitri yang telah dirakam dengan suara beliau sebelum ini dalam format video lirik. Semoga semangat Queenzy untuk mentakrifkan semula landskap muzik dan suara yang memukau para pendengar kekal bergema di dalam sanubari kita.
Menghormati Legasi Queenzy:
Sebagai tanda penghormatan kepada visi Queenzy yang mahukan album-album beliau sebagai edisi khas dan eksklusif, semua album yang telah habis dijual tidak akan dicetak semula.
Selain itu, untuk memastikan maklumat yang sahih dan tepat mengenai Queenzy, anda disaran supaya mengesahkan dari akaun rasmi sahaja. Sebarang penggunaan imej atau hak publisiti Queenzy adalah tidak dibenarkan sama sekali tanpa kebenaran bertulis daripada pentadbir harta pusaka Queenzy Cheng. Sebarang maklumat yang tersebar di luar akaun Queenzy atau syarikatnya perlulah dianggap sebagai desas-desus sehingga disahkan secara rasmi.
-TAMAT-
Pegawai Media
Darren Chng
Sila isi borang di bawah untuk sebarang pertanyaan media.