Perjalanan 30 tahun Queenzy Cheng dalam industri muzik dan hiburan terus membawa inspirasi kepada para peminat dengan pelancaran dua lagu Hari Raya Aidilfitri yang penuh bermakna – “Syawal Aidilfitri” dan “Keluarga Aidilfitri.”
“Syawal Aidilfitri” menggunakan melodi lagu Tahun Baharu Cina 2020 “鼠报平安 Blessed New Year” manakala “Keluarga Aidilfitri” mengambil inspirasi daripada melodi lagu Tahun Baharu Cina 2022 “好好好 Good, Better, Best!”. Lagu Syawal Aidilfitri bertemakan kegembiraan menyambut hari kemenangan setelah mengharungi cabaran sepanjang Ramadan. Lagu Keluarga Aidifitri pula berkisar kekeluargaan, persiapan menyambut Hari Raya dan kasih sayang sesama keluarga.
Kedua-dua lagu ini digubah oleh Ang Chee Ciang dan ditulis oleh Queenzy sendiri. Beliau telah merakam lagu-lagu ini pada tahun 2020 dan 2021 tetapi belum berpeluang untuk menerbitkannya lagi. Sebagai tradisi yang diperkenalkan beliau apabila menubuhkan syarikat sendiri pada tahun 2017, Queenzy secara konsisten menerbitkan lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri yang diubah lirik daripada lagu Tahun Baharu Cina beliau. Semoga koleksi 8 buah lagu Hari Raya Queenzy dapat kekal bergema di industri muzik tanah air dan legasi beliau kekal di dalam sanubari kita. Kedua-dua buah lagu ini juga merupakan rakaman vokal terakhir Queenzy, menutup tirai dengan penuh emosi perjalanan 30 tahun beliau dalam industri hiburan.
Kami ingin menegaskan bahawa semua album yang dilancarkan, termasuk lagu Tahun Baharu Cina 2024 versi kecerdasan buatan (AI) yang bertajuk “Limpahan Keberkatan” telah mendapat kebenaran dan persetujuan daripada ahli keluarga dan pemegang hak harta intelek masing-masing. Setiap butiran yang berkait dengan Queenzy telah dipilih dengan teliti untuk mencerminkan kata-katanya sendiri. Mesej beliau kepada penonton dalam video muzik Tahun Baharu Cina 2024 juga diambil daripada wawancara beliau ketika merakam video muzik yang lepas.
Sebarang penggunaan imej atau hak publisiti Queenzy adalah dilarang tanpa kebenaran daripada Pentadbir Harta Pusaka Queenzy Cheng. Selain itu, untuk memastikan maklumat yang sahih dan tepat mengenai Queenzy, orang ramai disarankan supaya merujuk dan mengesahkan dari akaun rasmi sahaja. Sebarang maklumat yang tersebar di luar akaun Queenzy atau syarikatnya perlulah dianggap sebagai desas-desus sehingga disahkan secara rasmi.
Lagu-lagu terakhir beliau akan dilancarkan di saluran YouTube rasmi Queenzy dan semua penstriman utama pada 31 Mac 2024, pada jam 1:00 petang.
🔗 Syawal Aidilfitri : https://youtu.be/vFNS2q-subs
🔗 Keluarga Aidilfitri : https://youtu.be/A6feQt2-NuE
Pegawai Media
Darren Chng
Sila isi borang di bawah untuk sebarang pertanyaan media.